Bisnes satu barang banyak kedai

Mungkin kita biasa makan burger atau makanan segera di McDonald, atau makan ayam KFC. Mungkin juga kita biasa ataupun pernah membeli minuman berperisa di CoolBlog. Atau mungkin juga kita mengisi minyak pertol atau diesel di stesen pam minyak Petronas, Shell mahupun Petron. Agaknya apa yang dapat kita bayangkan dengan prinsip bisnes yang dijalankan oleh mereka di atas. Mungkin kita menggambarkan makanan atau minuman segera yang dijual oleh mereka, atau minyak petrol yang kita sering kita gunakan untuk kenderaan kita dan paling penting minyak petrol daripada syarikat minyak yang kita percayai.

bisnes
bisnes satu barang banyak kedai

MC Donald adalah perniagaan berasaskan burger. Macam-macam burger yang mereka jual dengan pelbagai nama yang bertujuan menarik perhatian pembeli dan pengguna. Malah ada burger khas pula yang dijual sempena sesuatu perkara. Misalnya Prosperity Burger yang dijual sempena dengan kemunculan Tahun Baru Cina. Tetapi nampak belum ada burger khas yang dijual sempena Hari Raya Aidi Fitri mahupun Aidil Adha. Ada ke? Mungkin juga MCDonald mempunyai strategi pasaran dan sasaran pengguna yang kita tidak tahun. Keadaan yang sama akan kita dapat lihat kepada entiti perniagaan lain yang menjalankan bisnes mengikut acuan prinsip bisnes yang telah ditetapkan.

Prinsip bisnes satu barang banyak kedai ini semakin menjadi trend dalam kalangan pembisnes di negara kita. Mungkin ada sesuatu yang menarik dengan prinsip bisnes ini dan mungkin prinsip bisnes ini mungkin mampu untuk berkembang dengan lebih pesat berbanding prinsip yang satu lagi yang nampak begitu kontra iaitu bisnes banyak barang satu kedai.

Sebilangan kita mungkin melihat prinsip bisnes ini agak bermodal besar dek kerana untuk mencapai sasaran pasaran yang besar dan meliputi rangkaian di seluruh negara, keperluan modal sememangnya tinggi. Modal yang besar diperlukan untuk membina rangkaian pemasaran yang berkesan dan mampu dicapai ke seluruh pelusuk negara dan menemui pelbagai ragam pengguna. Penggunaan media seperti televisyen, radio mahupun perluasan pasaran menggunakan media sosial memang menjadi igauan kepada pembisnes bermodal kecil sekiranya kita melihat kepada dana kewangan yang diperlukan.

Namun yang bagusnya kepada prinsip bisnes satu barang banyak kedai adalah lebih kepada pembentukan karakter dan kepercayaan produk kepada pengguna atau pembeli. Produk kepada bisnes ini memerlukan kekuatan yang cukup tinggi bagi mengatasi produk-produk pesaing yang sama-sama turut berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pembeli atau pengguna. Kenapa apabila kita mengisi minyak kenderaan kita, kita akan memilih untuk menggunakan minyak syntium Petronas dan tidak mengisi minyak petrol di Shell ataupun Petron. Inilah yang dikatakan kekuatan dan karakter produk yang telah ditanam di dalam hati dan minda pengguna. Barang diingat, kesan mendalam di minda dan hati pengguna ini bukan dilakukan dalam tempoh sehari dua atau seminggu dua, bertahun-tahun pihak syarikat menjalankan usaha meningkatkan kepercayaan pengguna kepada produk tersebut. Bak kata pepatah, Rom itu tidak dibina dalam sehari. Hal inilah yang biasanya meningkatkan kadar keresahan kepada pemain-pemain pasaran baru yang mula untuk menempatkan diri dalam hati dan minda pengguna. Modal kewangan yang besar menjadi igauan ngeri yang tidak berkesudahan, dan biasanya juga syarikat dan pemain kecil ini amat terikat dengan modal kewangan.

Nah, bagi kita bagaimana? Adakah boleh kita memikirkan untuk menjalankan bisnes yang prinsipnya begini. Sudah barang tentu boleh, dan kita kena menekan minda positif bahawa sesuatu bisnes itu tidak semestinya bermula dengan besar. Biar bermula dengan kecil, lama-lama ianya akan membesar dan menjadi raksasa dalam pasaran. Ini pemikiran selamat bagi yang baru nak bermula ataupun yang sedang bergerak dalam skala kecil. Berikan fokus kepada apa produk yang menjadi trend atau kegilaan hari ini. Tingkatkan kajian dan penyelidikan produk, sebab ini juga penting untuk kita menjual produk yang boleh menguasai pasaran. Uruskan dengan baik soal rangkaian, logistik dan pemasaran produk. Kejayaan bisnes tidak datang bergolek namun memerlukan pengorbanan besar dalam mencipta raksasa.

Apa yang anda fikirkan tentang prinsip bisnes satu barang banyak kedai. Apa produk pilihan anda? Adakah anda rasa ada boleh lakukannya. Teruskan dengan apa yang yang fikirkan dan pastinya anda boleh lakukan untuk menjadi daripada sebahagian penyumbang kepada ekonomi negara.

 

 

Bisnes satu kedai banyak barang

Prinsip asas yang dimulakan oleh pembisnes sejak lama dahulu adalah berdasarkan kepada konsep satu kedai banyak barang. Konsep bisnes ini amat popular dan nampak begitu berkesan. Kejayaan bisnes seperti ini bergantung kepada tauke kedai yang berjaya mengenalpasti keperluan dan kehendak masyarakat atau pasaran setempat. Bagi yang berasal dari kampung-kampung tradisional, konsep inilah yang telah kita lihat sejak dari dahulu lagi. Kita juga melihat pekedai atau tauke-tauke ini hari ini sangat kaya. Sebab keuntungan daripada bisnes berkonsepkan satu kedai banyak barang membolehkan tauke ini melebarkan sayap kekayaannya kepada pembelian tanah-tanah di sepanjang jalan masuk ke kampung.

Melalui konsep satu kedai banyak barang ini, apa yang kita perlukan dan kita kehendaki ada di sesebuah kedai. Carilah apa pon, daripada barang keperluan makanan seperti beras, gula, garam dan lain-lain. Alat tulis untuk keperluan anak-anak sekolah mahupun barang-barang hardware untuk keperluan pertukangan DIY. Pendekata semuanya ada. Namun jangan diharap kita akan mendapat barang yang kita suka sepertimana kita lihat di iklan televisyen, tapi kedai seperti ini sentiasa ada apa yang kita nak. Hebat bukan konsep kedai seperti ini. Semua barang diletakkan di dalam sebuah kedai.

Beribu-ribu item barangan dijual di kedai seperti ini yang mengaplikasikan konsep satu kedai banyaakkkk barang. Kalau dikampung-kampung biasanya barang-barang yang dijual tidaklah begitu murah sekiranya hendak dibuat perbandingan dengan kedai atau barang yang sama di Kawasan bandar yang mana pasaran adalah besar dan pesaing yang cukup banyak.

Konsep asa bisnes ini, bisnes satu kedai banyak barang amat biasa kita lihat. Dari sekecil-kecil kedai runcit atau kedai sebaneka di persekitaran kita menggunapakai idea bisnes ini. Pasaraya dan pasaraya besar seperti Giant, Jusco, Tesco dan banyak lagi menjalankan perniagaan berasaskan satu kedai banyak barang dan sangat kerap kita lihat adalah banyakkkkkkk barang sehinggakan kita sebagai pelanggan kadangkala tak tau nak pilih barang apa di pasaraya besar. Lebih ke hadapan lagi, pasaraya seperti ini menawarkan jumlah item barangan yang cukup banyak, dan bagi satu-satu item barangan boleh terdapat beberapa pengeluar juga.

Bagus atau tidak konsep bisnes seperti ini seringkali bermain difikiran kita. Barang tentulah bagus sebab kita mampu dan berpeluang mendapatkan keuntungan dari setiap item yang berjumlah beribu-ribu item barangan. Ambillah jangkaan mudah kadar keuntungan beberapa puluh sen untuk barangan yang kecil-kecil, kalau barangan kecil ini mampu dijual dengan banyak setiap bulan, memang payah jugak nak mengira keuntungannya, maklumlah terlalu banyak. Tentu lumayan kan keuntungannya. Apatah sekiranya item barangan yang nilainya lebih tinggi, tentu banyak keuntungannya.

Kadang-kadang kita memandang enteng keuntungan seorang peniaga di kampung-kampung. Cuba kita bayangkan sekiranya dalam sebuah kampung hanya ada sebuah kedai runcit atau serbaneka seperti ini. Katalah ada 300 hingga 400 keluarga. Bisnes menjual beras sahaja sudah mencecah berpuluh ribu ringgit. Iyalah, beras kan keperluan untuk setiap orang. Kalau 300 keluarga, sekurang-kurangnya 300 kampit beras akan dijual sebulan. Berapa agaknya keuntungan jualan sekampit beras samada 5kg atau 10kg. Dan kadar keuntungan jualan sekampit beras di darabkan dengan 300 kampit. Banyak tu.

Apa pula idea bisnes yang boleh anda fikirkan dengan konsep ini. Ianya mudah, jual sahaja apa barang yang ada fikirkan boleh meraih keuntungan daripadanya dan letakkan, susunkan cantik-cantik sebagai tarikan dan lakukan jualan. Dan, akhirnya kirakan keuntungan anda.

 

 

Sampah menjadi duit

Kita biasa mendengar, betapa kreatifnya manusia hari ini dalam menjadikan sesuatu benda kepada suatu usaha bisnes dan menjadikan ia sebagai industri. Walaupun bukan sebuah industri yang besar, namun usaha yang pada awalnya dijalankan secara suka-suka akhirnya menjadi sebuah industri yang memberi manfaat kepada ramai umat manusia.

Sampah. Selalu kita lihat. Sering juga kita membaca bagaimana botol-botol bekas minuman yang kita buang dan kita tidak dapat menilainya sebagai duit dapat memberikan penghasilan kepada orang lain. Kita melihat orang mengutip botol-botol yang bersepah di sana sini, di tong-tong sampah restoran, rumah kediaman malah ditepi-tepi jalan juga. Acapkali juga sebilangan kita melihat usaha segolongan orang mengutip botol-botol yang kita anggap tidak berguna dengan pandangan sinikal dan mungkin juga pernah kita memandang dengan hina pengutip-pengutip barangan buangan ini.

Pernah lihat tak longgokan plastik sampah hitam di kawasan berpokok besar seperti gambar di bawah.

Agak-agak apa isi bungkusan ini

 

 

Berapa kilo agaknya berat bungkusan ini

Tentu pernah kan. Dan tentunya biasa nampak. Apa agaknya yang ada di dalam bungkusan plastik hitam ini. Tentulah tidak lain dan tidak bukan, daun-daun kering yang telah dikumpulkan biasanya oleh pekerja pembersihan kawasan di majlis-majlis bandar mahupun di bandaraya.

Apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan longgokan daun-daun kering ini sebagai usaha bisnes. Jangan main ambik aje yer bungkusan plastik hitam ini. Mintak lah kebenaran dari kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan kawasan perbandaran ini. Mintalah dengan elok dan katakan bahawa kita ada perancangan kepada daun-daun kering ini atau ‘sampah’ ini. Kalau rasa malu atau segan dengan pihak kontraktor atau tidak dapat menemui dan mengenalpasti pihak kontraktor, cuba minta dengan pekerja yang mengumpulkan  daun-daun ini. Biasanya dengan senang hati mereka akan memberikan kebenaran untuk kita mengambilnya. Kalau bernasib baik, nanti disuruhnya kita untuk mengambil banyak lagi bungkusan plastik hitam berisi daun-daun kering ini di sana dan di sinun dimana-mana kawasan yang mereka jalankan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan kawasan.

Apa perancangan bisnes ini daripada sampah longgokan plastik hitam berisi daun-daun kering ini. Kalau anda boleh fikir, agaknya apa yang boleh di buat dengan daun-daun kering.

Ada kemungkinan kita boleh buat kraftangan daripada daun kering

Mungkin kita boleh jual daun-daun kering ini kepada pengilang yang menjalankan proses kitar semula menjadi kertas. dan apa lagi agaknya.,

Sebenarnya daun-daun kering ini boleh kita proses untuk dijadikan baja. Yer, baja kompos daripada proses pereputan daun-daun kering.

Jom kita buat sedikit kira-kira dengan beberapa andaian-andaian mudah yang kita akan gunakan.

 

Sebungkus plastik hitam itu mengandungi kira-kira 5kg hingga 7kg daun kering

Sekiranya kita usahakan proses pereputan untuk dijadikan kompos, setiap bungkusan tadi boleh menghasilkan kira-kira 3kg baja kompos.

10  bungkus daun kering boleh dapat kira-kira 30kg baja kompos

1 beg baja kompos (3kg) boleh dijual dengan harga RM5.00

Masa menjalankan proses pereputan kira-kira 3 minggu

10 beg baja kompos X RM5.00 menghasilkan RM50.00

 

Banyak tak RM50.00 ini. Banyak bagi sesetengah orang dan bagi sebahagian yang lain RM50.00 ini tidak memberikan nilai yang sepada kepada mereka. Mereka kata kalau dulu bolehlah beli barang di pasaranya penuh satu troli dengan RM50.00 ini, kalau sekarang memang tidak dapatlah.

Sebenarnya RM50.00 hasil daripada jualan 10 beg baja kompos agak banya. Iyalah kan, dengan kos pengeluaran yang boleh dikatakan sifar, cuma dengan sedikit usaha dan mengambilkira masa menghasilkan baja kompos seawal 3 minggu dengan kaedah pereputan berbantukan EM, ianya sangat berbaloi. Dan kita perlu mengubah pekali bilangan atau volume untuk melihat jumlah wang yang lebih banyak dan lebih besar nilainya.

RMM50.00 – 10 beg

RM500.00 – 100 beg

RM5000.00 – 1000 beg

RM50000 – 10000 beg

RM50000.00 ( Lima puluh ribu ringgit) barulah nampak begitu banyak. Barang diingat untuk mendapatkan nilai ini, segala yang digunakan baik dari segi bungkusan, masa dan tenaga juga perlu digandakan. Baru nampak untung banyak. Hehehe….kita memang selalu berangan-angan dan berinspirasi untuk mendapat lebih banyak, lebih banyak lagi, lebih…..

Kalau kita tidak bermula, pastinya kita tidak akan mendapat apa yang kita bayangkan. Dan kita kena yakin dengan keupayaan kita, kena bermula dengan sedikit demi sedikit barulah apa yang kita usahakan ini dapat kita gandakan berkali-kali ganda pada masa hadapan. Nak dapat hasil yang lebih banyak, mungkin juga kita boleh naikkan harga jualan baja kompos dengan pelbagai variasi,

3kg djual dengan harga RM8.00, atau

4kg dijual dengan harga RM10.00, atau

2kg dijual dengan harga RM5.00

Variasi berat dan harga adalah bergantung kepada kita, boleh dikatakan kita yang menentukan matlamat kita, berapa kita nak untung daripada usaha kita ( diam tak diam sebenarnya kita sudah terlibat dengan apa yang dikatakan industri….nampak hebat kan kan).

Burger : strategi bisnes

Burger satu bisnes besar

Bisnes burger sangat sinonim dengan rakyat negara ini. Bisnes burger tepi jalan menjadi alternatif kepada peminat burger yang kurang meminati rasa burger yang dijual di restoran makanan segera terkenal. Memang bukan omong kosong, tanyalah kepada seberapa ramai peminat burger, tentu jawapan mereka memberikan alasan rasa burger tempatan akan lebih diminati. Penyediaan burger lebih garing dengan pelbagai rasa bercitarasa Malaysia memang menjadi pilihan.

 

Tidak sukar sebenarnya untuk memulakan perniagaan burger tepi jalan. Mungkin hanya memerlukan sedikit peralatan asas, dah boleh dah memulakan bisnes burger ini. Kalau ada modal lebih sedikit, bolehlah mendapatkan kios yang agak besar dan cantik sebagai tarikan kepada pelanggan. Sediakan juga menu burger yang pelbagai, sudah boleh buka stall burger.

 

Strategi perniagaan bisnes burger pula, sebenarnya ia juga boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha bisnes burger ini. Sekurang-kurangnya keuntungan adalah lebih 50% daripada modal penyediaan sebiji burger. Ianya satu bisnes yang lumayan.

 

Macamana nak lebih berjaya dalam bisnes burger. Pernah kit amendengar, si A penbisnes burger memiliki 3 stall, ada yang pernah kita dengar sehingga 10 stall malah yang lebih ekstrem memiliki sehingga berpuluh-puluh stall burger.Kata orang jiwa mesti kental untuk sampai ke tahap begini dan biasanya hanya otai yang sanggup dan sampai ke tahap begini. 

 

Kita lihat strategi untuk mengembangkan bisnes burger,

Bermula dengan sebuah stall burger dan dua orang pekerja (salah seorang pekerja itu mungkin kita sendiri sebagai pemula dan pengasas). Perkara ini akan berkaitan dengan program latihan pembuat burger juga. Dalam masa 6 bulan pembantu stall burger tadi seharusnya sudah cukup mahir mengendalikan stall burger dari aspek persediaan awal menyediakan bahan keperluan bisnes, menyediakan burger pelanggan dan seterusnya mampu untuk berkomunikasi dengan baik kepada pelanggan.

 

Langkah seterusnya ada membuat penetapan membuka sebuah lagi stall burger yang akan diuruskan oleh pembantu pertama tadi. Dengan sedikit penggunaan ayat-ayat manis, “awak sekarang ini saya lantik sebagai pengurus stall burger saya di sana”. Ayat manis inilah yang akan menjadi pendorong kuat kepada pembantu tadi untuk menjayakan stall burger kita yang kedua. Tugasan sampingan pengurus stall ke dua ini, dia perlu mencari seorang pembantu stall dan dia akan menjalankan tugasan sama seperti apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Iya, proses latihan akan berjalan secara berterusan. Dan di stall pertama tadi, proses ini juga berlaku secara serentak.

 

Nah, dalam masa 6 bulan kita sudah ada dua stall burger. Selaku boss, kita juga ada pekerja kepada stall pertama dan dibantu oleh 3 orang pekerja. Seterusnya dalam masa 6 bulan lagi, kita sudah boleh membuka 2 lagi stall burger menjadikan 4 stall dalam masa setahun. Proses ini akan berterusan dan sekiranya perancangan ini dapat direalisasikan, dalam masa 3 tahun, kita akan berjaya membuka 32 stall burger.

 

Agak-agaknyalah, dengan wujudnya 32 stall burger milik kita, berapa anggaran pendapatan yang mampu kita raih dari usaha ini. Sekirnya sebuah stall burger mampu meraih keuntungan RM3000 sebulan, maka kita mampu untuk meraih sehingga RM100,000.00 sebulan. Wow, bisnes burger ini walaupun nampak macam tidak glamour tetapi pulangannya amat lumayan.

Runner : Warga tua

Penghantar barang atau runner memang menjadi satu fenomena sekarang ini. Modal tak besar. Sekadar ada toolsnya sudah boleh bermula aktiviti bisnes ini. Runner ini satu perkhidmatan yang bagus dan efektif untuk ramai. Biasanya runner ini bergerak menjalankan aktivitinya menggunakan motosikal dan kereta. Di luar negara, yang mana jalanraya yang ada begitu sesak, basikal digunakan kerana basikal dapat bergerak bebas melepasi kesesakan jalan raya.

Berikan kegembiraan untuk mereka

Bagaimana pula dengan perkhidmatan runner untuk orang-orang tua. Cuba lihat di sekeliling kita. Pastinya golongan orang tua ini memang ada ramai. Dan kebanyakan daripada orang-orang tua ini tinggal sendirian dan biasanya masih ramai lagi orang-orang tua ini masih mempunyai pasangannya. So, apa yang kita nak runner daripada golongan ini.

Orang-orang tua ini biasanya mereka tidak lagi mampu untuk menunggang motosikal ataupun memandu. Berkemungkinan aktiviti memandu sudah tidak lagi mampu dilakukan. Cuba kita bayangkan, beberapa tahun sebelum ini orang-orang tua yang kita sasarkan tadi adalah seorang yang masih gagah, kuat berjalan makan angin, pergi bershopping di mall mall, malah kerap berbelanja di mana-mana untuk membeli keperluan mereka seharian. Namun kini mereka tidak mampu untuk melakukan aktiviti yang biasa dilakukan sebelumnya. Lagipun anak-anak mereka ini melarang mereka untuk keluar memandu atas aspek keselamatan.

Tahap kerinduan orang-orang tua ini amat tinggi bagi tujuan-tujuan ke luar daripada rumah ke tempat-tempat yang mereka ingin pergi. Nah…inilah peluang untuk runner. Apa yang boleh runner lakukan, yang penting runner memiliki kenderaan kereta, kalau tak ada pun bolehlah pinjam dengan abang, kakak atau ibu bapa.

  1. Carilah beberapa orang tua yang suka nak berbelanja di pasaraya untuk membeli keperluan harian. Kalau boleh dapatkan senarai panjang golongan ini untuk disusun jadual membeli barangan keperluan. Mereka akan berasa sangat puas kerana dapat membeli sendiri barang keperluan yang mereka ingini. Jadualkan mengikut kemampuan masa kita bagi membantu orang-orang tua ini ke pasaraya yang mereka ingini. Bantuan kita menghantar, menunggu dan membawa pulang boleh kita kenakan caj perkhidmatan per orang atau per trip. Lagi ramai dapat kita kumpulkan golongan ini lagi bagus, sebab lagi lumayan perolehan kita sebagai pelayan kepada perkhidmatan ini atau runner.
  2. Boleh juga kita berfikir lebih jauh tetapi dalam konteks yang sama, kita sediakan perkhidmatan runner ini bagi tujuan melancong untuk golongan orang-orang tua ini. Kumpulkan beberapa orang, yang lebih baik adalah mereka saling mengenali dan berkawan baik sebab senang nak diuruskan. Kita bantu kelompok ini untuk melancong. Hantarkan ke tempat-tempat yang mereka ingin lawat, seperti pantai, air terjun atau ke tempat-tempat lawatan bersejarah seperti ke Melaka dan lain-lain.
  3. Boleh juga runner bawakan orang-orang tua yang hendak mendapatkan rawatan rutin di klinik-klinik. Ramai dalam kalangan orang-orang tua ini mempunyai janji temu bersama doktor atau mendapatkan rawatan rutin di klinik kerajaan terutamanya. Bantu mereka, bawakan mereka ke klinik, bantu pendaftaran, tunggu dan akhirnya kita bawa mereka pulang dengan selamat. Boleh juga singgah di mana-mana gerai kesukaan pelanggan kita dalam perjalanan balik. Tentu mereka suka. Juga penting untuk kita mengingatkan mereka tentang janji temu bersama doktor di klinik beberapa hari lebih awal. Nampak baik dan bijak kan kita ni.

Perkhidmatan runner untuk orang-orang tua ini sebenarnya sangat baik sebagai mendapatkan pendapatan secara harian, mingguan mahupun bulanan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah sedikit usaha mencari sasaran dalam kelompok orang tua-tua ini. Susunkan jadual untuk mereka dengan sebaiknya dan seterusnya jalankan bisnes perkhidmatan runner ini dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan yang paling penting tunjukkan sifat mengambil berat. Berikan kegembiraan untuk mereka seolah-olah andalah sahaja yang mereka ada dan percaya. Percayalah, bisnes yang baik seperti ini akan memberikan pendapatan yang kita harapkan dan jugs pahala yang berpanjangan nanti.

 

Bisnes Suatu Budaya

Orang Cina pandai berniaga. Ungkapan yang sering kita dengar dari mulut ramai orang baik dalam kalangan keluarga mahupun rakan-rakan. Apakah ada kebenarannya ungkapan ini. Bila kita mengaitkan sesuatu kaum dikatakan memiliki kebijaksanaan dalam menjalankan perniagaan bermakna kaum yang lain adalah tiada kebijaksanaan tersebut. Ini merupakan suatu yang tidak wajar dan amat malang untuk mempercayainya sebagai benar.

 

Hari ini jika dilihat disekeliling persekitaran kita, kita akan dapati perniagaan tidak hanyadijalankan oleh sesuatu kaum. Bukan hanya orang cina sahaja yang menjalankan perniagaan, orang-orang Melayu juga dilihat sudah mulai bangkit untuk menguasai sebahagian daripada sektor-sektor perniagaanyang penting dalam negara. Begitu juga dengan kaum India, banyak sekali kelihatan premisperniagaan yang dimiliki oleh kaum India, misalnya perniagaan runcit dan juga premis yangmenjual barangan keperluan kaum India yang rasanya tidak ada dijual oleh peniaga kaum lain.

 

Mari kita lihat sektor perniagaan di pantai timur Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu,Sebenarnya amat susah untuk melihat peniaga dari kaum lain selain orang Melayu yang mendominasi sektor-sektor perniagaan. Perniagaan emas dan perak, pakaian, kedai-kedai hardware waima perniagaan bermodal tinggi juga didominasi oleh orang melayu.

 

Ungkapan yang menyatakan bahawa orang cina pandai berniaga sebenarnya boleh kita ketepikan dan buang jauh-jauh daripada pemikiran supaya stigma ini tidak melemahkan jiwa kita yang sedang berkobar-kobar untuk menjalankan bisnes.

 

Mungkin perlu kita lihat dari aspek sejarah yang agak terkebelakang dari kita memahami perspektif bisnes. Tidak dapat dinafikan kebanyakan orang cina di Malaysia hari ini sudah memulai usaha bisnes seusai dengan memenuhi keperluan masyarakat mereka sebelum negara mencapai kemerdekaan. Keperluan bagi masyarakat mereka yang tinggal dalam kelompok kampung baru memungkinkan seorangdua yang berfikiran untuk menyediakan keperluan harian masyarakat melalui pewujudan kedai-kedai runcit kecil. Kedai runcit yang berskala kecil dan agak sederhana namun ianya menyediakanhampir keseluruhan keperluan masyarakat setempat.

 

Inilah kemungkinan bagaimana kaum cina ini dikatakan mulai belajar menjalankan bisnes.Bisnes ini dijalankan dengan bantuan usaha daripada keluarga yang terdiri daripada anak-anak mereka. Pemupukan usaha ini membuahkan keseronokan dan kemahiran-kemahiran asal dalam aspek menjalankan usaha bisnes. Seterusnya ia berkembang kepada sektor bisnes yang lain. Inilah perkara utama yang perlu ada dalam diri peula bisnes seperti kita hari ini. Penglibatan yang tinggi daripada ahli keluarga akan dapat membentuk jiwa anak-anak yang sukakan kepada usaha bisnes, dan percayalah sekiranya anak-anak dilibatkan dengan pengetahuan dan kemahiran bisnes, mereka akan lebih matang dan bersedia untuk kelangsungan bisnes pada masa yang akan datang.

Untung jutaan ringgit

Puas kekadang kita memikirkan macamana nak untuk banyak dalam perniagaan. Tengok orang senang-senang aje buat untung, Bukan untung sikit-sikit pulak tu, tetapi untungnya boleh sampai jutaan ringgit. Model bisnes apa agaknya nak digunapakai sampai dapat untung banyak macam tu.

Mari kita kaji sama-sama macamana nak untung sampai RM 1 juta. Wow. Banyak betul tu, Boleh ke buat untung sampai banyak tu. Dalam menjalankan usaha bisnes sebenarnya kita kena akur bahawa untuk sampai kepada keuntungan RM 1 juta bukan mudah. Kalau kita ada impian untuk capai keuntungan bisnes RM 1 juta dalamasa setahun, InshaAllah kita kena usahakan. Mari kita lihat kira-kira mudahnya dahulu.

RM1000000 / 12 bulan = RM 83333.33 sebulan

RM83333.33 / 30 hari = RM 2777.78 sehari

Bagaimana nak kita usahakan agar kita boleh dapat sebanyak RM 2777.78 sehari untuk mencukupkan keuntungan kita adalah RM 1 juta setahun.Perniagaan apa yang sesuai dengan matlamat mendapatkan keuntungan bernilai RM 1 juta.

Baiklah, mari kita sama-sama memberikan fokus kepada impian ini. Apa produk yang boleh kita aplikasikan kaedah ini. Perlu diingat, perniagaan dan bisnes adalah keupayaan kita kepada menyediakan produk yang melibatkan keperluan dan kehendak serta kemahuan pengguna. RM 1 juta suatu angka yang sangat besar. Bermakna kita kena memberikan tumpuan kepada angka yang besar juga. Rakyat Malaysia hari ini berjumlah kira-kira 32 juta orang.

Fokus utama kita adalah kepada produk keperluan dahulu. Sebab jika kita memberikan fokus kepada produk kehendak, capaian angka kita tidak akan mencapai sasaran sebabnya produk kehendak ini amat berbeza di antara individu dengan individu yang lain.

Produk keperluan orang ramai. Barang yang digunakan oleh hampir kesemua orang di sekitar kita dan di negara kita. Dan barangan atau produk ini dibeli berkali-kali dalam setahun. Apa agaknya. Beras, gula, susu, pakaian, apa sahaja yang kita boleh fikirkan. Cuba kita fokus lagi. Apa lagi agaknya barangan yang memang digunakan dan diperlukan oleh setiap orang.

Berus gigi menjana untung jutaan ringgit

Berus gigi. Yer, berus gigi. Setiap orang memerlukan berus gigi. Setiap orang memberus gigi setiap hari. Kita akan bertanya lagi, kan sudah banyak jenama berus gigi di pasaran. Ada jenama Jordan, Oral B, Colgate dan banyak lagi yang popular.Nampak seperti ye tak ye sahaja dengan idea berus gigi ini.  Kita ketepikan dahulu soal persaingan jenama ini. Ada dalam kalangan jenama ini adalah jenama dengan harga yang mahal. Apa salahnya kita menawarkan jenama kita sendiri dengan kualiti yang setanding dengan jenama sedia ada.

Kita buat andaian mudah. Sebatang berus gigi di pasaran hari ini tidak ada yang dijual pada harga RM1.00. Tinjauan rambang mendapati harga paling rendah sebatang berus di sebuah pasaraya adalah RM2.90. Agaknya berapa kos modal untuk kita menjalankan bisnes berus gigi. Mungkin RM1.00, mungkin RM 0.90. Wah, jika begini kita boleh menetapkan kadar keuntungan bisnes kita ini.

Katalah,

untung jualan sebatang RM 1.00

Sekiranya kita menjual 10,000.00 batang, keuntungan kita adalah RM10000.00

Jadi, kalau kita mahukan keuntungan RM1 juta, kita kena menjual sebanyak sejuta batang berus gigi dalam masa setahun.Kalau kita bermarginkan keuntungan sebanyak RM2.00, atau RM2.50 bermakna kita akan menjual kurang daripada sejuta batang berus gigi dalam masa setahun. Nampak tak.

Jangan bimbang kerana angka sejuta batang berus gigi sebenarnya kita hanya perlu menyasarkan kira-kira 250 000 orang pembeli sahaja sebab biasanya berus gigi yang kita gunakan akan diganti dengan berus gigi baru dalam masa beberapa bulan sahaja.

Ok tak idea ini. Boleh tak nak buat untung RM 1 juta. Kalau tengokkan gayanya, mcam boleh buat berjuta juta juta lagi kan. Kalau kita boleh menyasarkan separuh lagi daripada bilangan penduduk, ermmm memang tak menang tangan nak kira untung. Ada cadangan yang lain ke? Sama-sama kita fikirkan.

 

 

Bisnes Adalah Pemikiran

Memang bukan satu yang asing apabila orang berbicara tentang bisnes atau biasanya dipanggil perniagaan. Lihatlah di sekeliling kita, pandang kiri pandang kanan depan dan belakang, semua benda boleh dikategorikan sebagai bisnes atau perniagaan.

 

 Persoalan yang sangat biasa kita dengar,

1. “Kau buat bisnes apa sekarang ni bro“,

2. “Bisnes ada untung ker“.

3. “Dah lama dah kau buat bisnes ni, tentu dah kaya kau sekarang ni kan“.

4. “Nanti kalau dah pencen aku nak berniagalah, nak jual putu piring“, dan pelbagai lagi.

 

Namun begitu satu persoalan yang sering kali kita dengar dan begitu berleluasa terutamanya bagi yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia bisnes,

 

 “Nak bisnes apa” atau “aku tak tau nak bisnes apa” atau “bisnes apa yang boleh aku buat“.

 

Ini ayat yang paling klise dan sangat biasa didengari. Frasa yang begitu mudah dilontarkan oleh sebahagian besar Dalam dunia perniagaan, apa yang perlu kita perhatikan adalah, apakah matlamat akhir dari usaha perniagaan atau bisnes yang kita lakukan.

 

Ramai orang mengimpikan keuntungan yang banyak daripada bisnes yang dilakukan. Amat biasa juga kita dengari frasa,

 

“9/10 sumber rezeki itu datangnya daripada perniagaan”

 

Frasa ini juga dapat menjadi pendorong yang sangat signifikan bagi mereka-mereka yang bermotivasi dalam menjalankan usaha bisnes dan menguruskan soal bisnes. Mungkin juga perlu diberikan peringatan kepada pemula bisnes ini agar tidak melihat nombor ini sebagai begitu banyak kerana mereka juga perlu tahap penerimaan risiko kesan daripada menjalankan bisnes ini. Sekiranya kita amat berhajat untuk memperoleh 9/10 ini sebagai sumber pendapatan dan rezeki, hendaknya janganlah dilupakan bahasa 9/10 bebanan bisnes juga perlu kita tanggung. Dan, ianya bukan suatu yang mudah seperti memetik jari.

 

Susah ker nak berbisnes atau mudah ker nak berbisnes bergantung kepada nilai kemampuan individu dalam menempuh risiko dan pemerolehan pengiktirafan. Tidak semua pemula bisnes akan menempuh perasaan susah atau mudah dalam menjalankan bisnes. Bila kita melihat sekeliling kita, kita akan dapat melihat ramai peniaga mencapai kejayaan. Bermula dengan sebuah usaha bisnes yang kecil, membesar sedikit demi sedikit dan berjaya membuka banyak premis perniagaan. Rasanya setiap daripada kita juga biasa melihat pembisnes mengalami kegagalan, baik bagi pemula ataupun pembisnes dan telah mencapai tahap berjaya pada suatu masa dahulu. Tentu ada sebabnya bukan.